Utusan Hari Buruh SDP



Sekali lagi, Hari Buruh, yang disambut khusus untuk perkerja seluruh dunia, tiba tanpa sebarang harapan untuk para pekerja, - mereka terus dieksploitasi dan ditindas oleh pemerintah PAP.

Setelah 50 tahun diperintah oleh PAP, yang mengambil alih kuasa pada tahun 1959 di atas dukungan pergerakan buruh yang kuat, pekerja telah secara sistematik diperalat seperti sebuah angka sahaja; tanpa maruah dan tempoh pekerjaan yang stabil.

Ini kerana pemerintah yang pada masa itu mengibarkan bendera Sosialis tetapi ideologi itu kini telah berubah menjadi sebuah sistem kapitalis yang autokratik.

Daripada 5 juta penduduk Singapura, hampir 3 juta daripadanya merupakan pekerja. Ini bererti majoriti daripada mereka adalah pekerja yang digaji atau bergantung kepada gaji bulanan untuk meneruskan kehidupan mereka dengan sempurna.

Mereka tiada perlindungan pekerjaan, apa lagi maruah buruh untuk para pekerja kita. Hak asasi mereka telah dipijak dan disekat oleh 'undang-undang Buruh' yang diperkenalkan pada lewat 1960-an oleh pemerintah bagi menyekat mereka untuk bersuara.

Para pekerja Singapura telah dinafikan hak untuk menubuhkan kesatuan-kesatuan sekerja yang bebas bagi mempertahankan hak mereka seperti gaji minima, kelayakan persaraan dan jaminan pekerjaan yang kian diancam dengan kemasukan pekerja-pekerja asing.

Walaupun wujud, apa yang dipanggil oleh pemerintah, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan yang diterajui seorang menteri kabinet dan mendakwa mewakili pekerja kita, ia sebenarnya adalah sebuah pertubuhan yang palsu, sebuah pertubuhan PAP untuk memeriksa dan mengecewakan aspirasi dan harapan sebahagian besar pekerja-pekerja kita.

Di Singapura, yang didakwa PAP sebagai sebuah negara yang telah mencapai status Dunia Pertama di bawah pemerintahannya tanpa gangguan selama separuh abad, pekerja masih berada di bawah telunjuk majikan. Sistem eksploitasi sebegini, yang telah membuat para pekerja kita sebagai bahan suapan untuk syarikat berbilang negara dan syarikat-syarikat Pemerintah dan Temasek, harus dibubarkan dan sebuah sistem baharu harus diwujudkan.

SDP telah menuntut supaya dibentuk kesatuan-kesatuan sekerja yang bebas supaya dapat benar-benar melindungi kepentingan pekerja-pekerja kita, sama seperti apa yang dinikmati oleh para majikan, termasuk syarikat-syarikat berbilang negara yang dibenarkan membentuk majlis-majlis dan persekutuan mereka sendiri bagi melindungi keperluan kelompok mereka.

Kami di SDP ingin melihat sebuah akta gaji minima digubal, dasar Rakyat Singapura Didahulukan, waktu pekerjaan migguan dihormati dan amalan eksploitasi terhadap buruh kontrak dihentikan.

Memang benar kita tidak boleh mengharapkan perubahan di bawah pemerintahan PAP. Seringkali kita mendengar para menteri dan NTUC menyuarakan ungkapan untuk menterbalikkan kemelesetan ('upturn the downturn'). Apa yang dimaksudkan oleh mereka adalah supaya pekerja Singapura terus menyokong dasar ekonomi PAP yang bergantung kepada ekonomi Amerika Syarikat, yang sering dilanda krisis, untuk pulih.

Kami di SDP mencadangkan program ekonomi alternatif yang menitikberatkan satu pendekatan terhadap pembangunan - satu rancangan yang bermatlamat untuk merubah negara kepada satu masyarakat yang kreatif, inovatif dan yakin, sebuah masyarakat yang akan bangga terhadap pencapaiannya, bergerak ke hadapan menuju abad ke-21.

Sedang kita meyambut Hari Buruh, marilah kita bergerak ke arah satu anjakan paradigma dalam sfera-sfera ekonomi, politik dan sosial yang telah lama dikuasai oleh PAP yang bersikap autokratrik.

Kami di Parti Singapura Demokratik mengucapkan Selamat Hari Buruh kepada semua pekerja, keluarga dan kawan-kawan mereka semuga mereka mencapai masa depan yang lebih baik dan cerah.

 

Gandhi Ambalam
Pengerusi
Parti Demokratik Singapura

Bahasa (Malay language) Wednesday, 26 May 2010 SingaporeDemocrats Print

LEAVE A COMMENT